Monday, August 01, 2011

aku masih penuntut ilmu...

salam 'alaik

SIFAT IFTAR NABI

OLEH: 'ALLAMAH IBN AL-QAYYIM AL-JAUZIYYAH

TERJEMAHAN: MUHAMMAD ASRIE B. SOBRI

Fasal: Pada Menyatakan Petunjuk Baginda s.a.w Dalam Berbuka Puasa

Adalah Baginda s.a.w menggalakkan supaya berbuka puasa dengan Tamar, jika tidak ada maka hendaklah dengan air, ini adalah termasuk kesempurnaan keprihatinan baginda kepada umat baginda dan nasihat baginda untuk mereka, ini kerana memberikan tabiat (tubuh badan) sesuatu yang manis dalam keadaan perut kosong lebih diterima (oleh sistem badan) dan memberi manfaat kepada kekuatan tubuh terutama sekali kekuatan penglihatan dan adalah halwa Madinah daripada Tamar demikian juga jem mereka (ketika itu), demikian juga tamar adalah makanan asasi mereka, pencicih roti mereka, dan rutob (kurma segar yg belum masak sepenuhnya) pula adalah buah-buahan mereka (yang utama).

Adapun air, ini kerana hati sewaktu berpuasa menjadi agak kering, jika ia dibasahkan dengan air maka akan sempurnalah pengambilan makanan yang akan diterimanya selepas itu.

Oleh itu, yang utama bagi mereka yang sedang kelaparan dan kedahagaan untuk memulakan dengan meminum sedikit air kemudian barulah makan, bersamaan ini juga terdapat khasiat-khasiat tersendiri pada Tamar dan air yang memberi faedah untuk kebaikan jantung yang tidak diketahui melainkan para doktor jantung.

Demikian juga baginda Nabi s.a.w berbuka sebelum bersolat dan baginda berbuka dengan beberapa biji rutab jika ada, jika tidak ada maka dengan tamar, jika tidak ada juga maka dengan beberapa teguk air.

Disebutkan juga bahawa baginda Nabi s.a.w membaca ketika berbuka puasa:

  اللهم لك صمت، وعلى رزقك أفطرت، اللهم تقبل مني إنك أنت السميع العليم
Maksudnya: "Ya ALLAH, aku berpuasa kerana-Mu, atas rezeki dari Kamu jua aku berbuka, Ya ALLAH terimalah daripada aku, sesungguhnya Engkau maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".
Tetapi doa ini tidak tsabit (tidak sahih).

Juga diriwayatkan bahawa baginda mengucapkan:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Maksudnya: "Ya ALLAH, aku berpuasa kerana-Mu, atas rezeki dari Kamu jua aku berbuka".
Ia diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Muaz bin Zuhrah bahawa dia menyampaikan bahawa Nabi s.a.w membacanya.

Diriwayatkan juga bahawa baginda s.a.w membaca:
ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى
Maksudnya: "Telah hilanglah kedahagaan, telah basah pula kerongkong, dan telah tsabit pula pahala insya-ALLAH".

Abu Daud menyatakannya daripada hadis al-Husein bin Waqid daripada Marwan bin Salim al-Muqaffa' daripada Ibn Umar r.huma.

Diriwayatkan juga bahawa baginda s.a.w bersabda:

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ دَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Maksudnya: "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika waktu berbukanya mempunyai satu doa yang tidak akan ditolak"
Meriwayatkannya Ibn Majah.

Telah sahih juga bahawa baginda bersabda:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَاهُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَاهُنَا، فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ
Maksudnya: "Jika telah masuk malam dari sini (timur) dan telah berlalu siang dari sini (Barat) maka telah berbukalah orang-orang yang puasa".

Hadis ini ditafsirkan dengan maksud orang-orang berpuasa itu telah berbuka secara hukum walaupun mereka tidak berniat (membuka puasa) dan ditafsirkan juga dengan maksud telah masuk waktu berbuka puasa baginya sebagaimana dikatakan (dalam bahasa arab): أَصْبَحَ وَأَمْسَى  (telah berpagi-pagi jika masuk waktu pagi, dan berpetang-petang jika masuk waktu petang).

Baginda juga melarang orang yang berpuasa daripada berkata dengan perkataan yang kotor, bertekak, mencela, dan menjawab balas celaan serta memerintahkan untuk dia berkata kepada orang yang mencelanya dengan berkata: "Aku sesungguhnya sedang berpuasa". Dikatakan hendaklah dia berkata (sebegini jika dicela) dengan lidahnya dan ini yang zahir (daripada hadis) dan dikatakan hendaklah dia berkata dalam hatinya untuk mengingatkan dirinya bahawa dia sedang berpuasa dan dikatakan juga dia berkata dengan lidahnya jika dia berpuasa fardu tetapi jika puasa sunat maka dia berkata dalam hatinya kerana ini lebih jauh daripada riya'.

Sumber: Zadul Ma'ad fi Hadyi Khairil 'Ibad, 2/49-50


 *     *     *     *     *


BACAAN BACAAN KETIKA BERBUKA PUASA

OLEH: FAQIH AL-ZAMAN IBN USAIMIN RH

TERJEMAHAN: MUHAMMAD ASRIE B. SOBRI


Dan perkataan beliau: (dan mengucapkan apa yang warid): Yakni disunatkan menyebut apa yang warid daripada Nabi s.a.w ketika berbuka puasa, dan diketahui warid (daripada Nabi s.a.w) ketika hendak berbuka puasa dan selainnya membaca Bismillah ketika hendak makan dan minum dan ia (membaca bismillah) atas pendapat yang terkuat adalah WAJIB yakni jika seseorang hendak makan atau minum maka WAJIB atasnya untuk mebaca Bismillah. Dalilnya adalah seperti berikut:

Pertama: Nabi s.a.w memerintahkannya[1].

Kedua: Perkhabaran baginda s.a.w  bahawa Syaitan akan makan bersama dengan orang yang tidak membaca Bismillah.

Ketiga: Tindakan baginda menahan tangan seorang Jariah dan seorang Badwi yang datang untuk makan sebelum mereka membaca bismillah dan baginda memberitahu bahawa Syaitan yang menolak (mendorong) mereka (untuk makan) dan bahawa tangan syaitan bersama dengan tangan mereka berdua yang sedang dipegang olehNabi s.a.w dihalang daripada makan.

Tetapi jika dia terlupa maka hendaklah mengucapkan:  

بسم الله أوله وآخره
Maksudnya: "Dengan Nama ALLAH pada awal dan akhirnya" [Abu Daud, al-Tarmizi, dan Ahmad].

Demikian juga apa yang warid (daripada Nabi s.a.w) sewaktu berbuka puasa dan lainnya adalah mengucapkan al-Hamdulillah selepas selesai (makan atau minum) kerana ALLAH reda kepada hambaNya yang memuji-Nya setelah dia makan dan setelah dia minum[2].

Adapun apa yang diriwayatkan berkaitan bacaan ketika berbuka puasa (bacaan khusus) seperti:

اللهم لك صمت، وعلى رزقك أفطرت، اللهم تقبل مني إنك أنت السميع العليم
Maksudnya: "Ya ALLAH, aku berpuasa kerana-Mu, atas rezeki dari Kamu jua aku berbuka, Ya ALLAH terimalah daripada aku, sesungguhnya Engkau maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".[3]

Demikian juga datang beberapa atsar yang lain juga berkenaan bacaan (khusus) ketika berbuka, dan semuanya pada sanad masing-masing terdapat masalah, tetapi jika dibaca oleh seseorang maka ianya tidak menjadi kesalahan.

Antaranya juga (bacaan khusus ketika berbuka) adalah apabila hari yang panas lalu dia minum setelah berbuka maka dia mengucapkan:

ذهب الظمأ، وابتلت العروق، وثبت الأجر إن شاء الله
Maksudnya: "Telah hilanglah kedahagaan, telah basah pula kerongkong, dan telah tsabit pula pahala insya-ALLAH".[4]

Hilangnya dahaga dengan minum amat jelas, demikian juga basahnya urat kerongkong jelas (ianya disebabkan minum) maka seorang manusia jika dia minum dalam keadaan dia dahaga, dia berasa apabila air sampai ke dalam perutnya air itu mengalir ke seluruh tubuhnya dan dia berasa sangat puas seraya dia berkata dalam hatinya: "Maha Suci ALLAH yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui yang mengalirkan air ini dengan begitu cepat (dalam tubuhnya)".

Zahir hadis ini menunjukkan bahawa zikir ini dibaca jika seorang yang berpuasa itu berada dalam keadaan dahaga dan kerongkongnya kering.[5]


Sumber: Al-Syarhul Mumti' 'ala Zadil Mustaqni', 6/441.



[1]. Asal setiap perintah syarak adalah wajib kecuali ada dalil lain yang mengalihkannya kepada sunat atau harus. Hadis perintah ini dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf hadis no 24441

[2]  Hadis Riwayat Muslim

[3]  Dikeluarkan oleh al-Daruqutni dan Ibn Sunni dalam 'Amal al-Yaum wal Lailah. Ianya da'if sebagaimana dinyatakan  Imam Ibn al-Qayyim r.h dalam Zadul Ma'ad.

[4]  Dikeluarkan oleh al-Daruqutni dan al-Hakim. Imam al-Daruqutni menyatakan hadis ini Hasan.

[5] yakni dibaca setelah berbuka puasa dengan meminum air setelah berpuasa dengan keadaan dahaga dan kering disebabkan cuaca panas


*     *     *     *     *


HUKUM TAZKIRAH TARAWIH

OLEH: FAQIH AL-ZAMAN IBN USAIMIN R.H

TERJEMAHAN: MUHAMMAD ASRIE B. SOBRI

Soalan: Kami di Kuwait mengadakan Mau'izah (ceramah/tazkirah) selepas empat rakaat daripada solat qiam (tarawih), adakah ianya diperbolehkan dan jika boleh bagaimanakah cara yang sewajarnya dilakukan?

Jawapan:
Pada pandangan saya hendaklah ianya TIDAK DILAKUKAN kerana:

Pertama: Ianya tidak berasal daripada petunjuk Salaf

Kedua: Bahawa sebahagian manusia suka untuk melakukan Tahajjud maka dia hendak segera pulang ke rumahnya, maka dengan mengadakan (tazkirah) ini akan menyebabkan adanya halangan, membosankan mereka, dan memaksa mereka untuk mendengar mau'izah ini sedangkan mau'izah itu jika tidak diterima maka mudaratnya lebih besar daripada manfaatnya.

Oleh sebab ini Nabi sallallahu 'alaihi wa 'ala Alihi wa Sallam menjarakkan masa mau'izah kepada para Sahabat serta tidak memberatkan mereka dan tidak mengulang-ulang. Maka aku berpendapat meninggalkannya (tazkirah) lebih utama.

Jika Imam hendak memberikan juga nasihat dan peringatan ini maka hendaklah dilakukan pada akhir sekali setelah selesai kesemua solat supaya orang ramai mempunyai pilihan sama ada untuk mendengar atau untuk bersurai.

Sumber: Liqa' Bab al-Maftuh, 5/227


*     *     *      *     *



MENYEMPURNAKAN TARAWIH DENGAN IMAM
OLEH: IMAM ABDUL AZIZ BIN BAZ R.H

TERJEMAHAN: MUHAMMAD ASRIE B. SOBRI

SOALAN: Jika seseorang bersolat dengan Imam yang bersolat 23 rakaat lalu dia (si makmum) hanya cukup melakukan 11 rakaat dan tidak menyempurnakan solatnya dengan Imam adakah perbuatannya ini menepati Sunnah?

JAWAPAN: Yang menepati Sunnah adalah menyempurnakannya bersama Imam walaupun ianya 23 rakaat kerana Rasul s.a.w bersabda:

من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب الله له قيام ليلة 
Maksudnya: "Barangsiapa yang mendirikan (solat tarawih) bersama Imam sehingga (Imam) itu selesai maka ALLAH tuliskan baginya (pahala) bersolat malam penuh" [Al-Tarmizi, Ibn Majah, dan Ahmad].

Dalam riwayat yang lain:

بقية ليلته
Maksudnya: (dituliskan baginya pahala) bagi malamnya [Ahmad].

Maka yang afdal (utama) bagi makmum adalah solat bersama Imam sehingga selesai sama ada solat yang dilakukan 11 rakaat atau 13 rakaat atau 23 rakaat atau lainnya.

Inilah yang afdal iaitu mengikut Imam sehingga selesai, dan 23 rakaat telah dilakukan oleh Umar r.a bersama dengan para Sahabat dan tiada padanya kekurangan atau cacat cela, bahkan ianya termasuk daripada sunnah iaitu sunnah para Khalifah al-Rasyidin dan telah ditunjukkan oleh hadis Ibn Umar r.huma daripada Nabi s.a.w bahawa baginda bersabda:

صلاة الليل مثنى مثنى، فإذا خشي أحدكم الصبح صلى واحدة توتر له ما قد صلى 
Maksudnya: "Solat malam itu dua rakaat-dua rakaat, jika seseorang kamu takut masuk waktu subuh maka solatlah witir satu rakaat mengganjilkan apa yang telah dia solat". [Muttafaq 'alaih].

Ini kerana Nabi s.a.w tidak menghadkan padanya bilangan rakaat tertentu tetapi menyatakan "Solat malam dua rakaat-dua rakaat", tetapi jika Imam solat tarawih cukup melakukan 11 rakaat atau 13 rakaat sahaja, maka yang utamanya hendaklah dia melakukan salam selepas setiap dua rakaat kerana inilah yang kebiasaan dilakukan Nabi s.a.w dan ini lebih meringankan bagi orang ramai dalam Ramadan dan lainnya dan barangsiapa yang menambah lagi (rakaat) atau mengurangkan maka tidak ada apa-apa kesalahan kerana solat malam itu diberi keluasan padanya.

والله ولي التوفيق 


Sumber: Majmuk Fatawa Ibn Baz, 11/325-326


 





: fb

1 comment: